blog kami

Thursday 25 April 2013

Pendekatan dalam Mengajar Membaca


Kemahiran membaca merupakan komponen penting dan menjadi kunci atau perkara asas kepada ilmu pengetahuan.  Oleh hal yang demikian, kemahiran membaca perlu dipelajari oleh setiap individu seawal yang mungkin. Sehubungan dengan itu, guru digalakkan untuk memvariasikan teknik dan kaedah pengajaran yang menarik agar dapat mencapai objektif yang telah ditetapkan.  Maka, terdapat pelbagai teknik dan pendekatan yang boleh diaplikasikan untuk mengajar kemahiran membaca ini.
Antara pendekatan yang boleh digunakan ialah permainan bahasa. Pendekatan belajar melalui aktiviti permainan yang disarankan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (2003) dalam Husin Fateh Din et. al (2011) ini ialah satu pendekatan terancang dan berstruktur yang memberi peluang kepada murid-murid untuk belajar dalam suasana yang menggembirakan dan bermakna. Hal ini disokong oleh Siti Hajar (1996) dalam Husin Fateh Din et. al (2011) dengan menyatakan bahawa permainan bahasa ini merupakan aktiviti yang dirancang dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa.
Melalui aktiviti permainan bahasa ini, murid-murid bukan sahaja boleh menguasai kemahiran membaca, malah kemahiran mendengar, lisan dan menulis turut dapat dikuasai secara serentak.  Hal ini menjadikan pembelajaran berpusatkan murid-murid dapat dilakukan, manakala guru dapat bertindak sebagai fasilitator (Husin Fateh Din et. al, 2011).
Walau bagaimanapun, permainan bahasa ini perlulah mempunyai pengisian yang selayaknya di samping sesuai dengan kemahiran yang mahu diajar pada minggu atau hari itu.  Pendek kata, perkara utama yang perlu ditekankan dalam permainan bahasa ini ialah pengisian aktivitinya (Husin Fateh Din et. al, 2011). Hal ini bermakna, setiap guru mestilah memastikan setiap permainan bahasa ini perlu memenuhi objektif silibus pelajaran yang telah ditetapkan supaya keupayaan kognitif murid-murid dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa.
Seterusnya, pendekatan secara pemintal lidah, iaitu guru melatih murid menyebut perkataan yang hampir sama bunyinya.  Perkataan ini sama dari segi bunyi tetapi terdapat beberapa perkataan konsonan dan vokal yang menjadikan perbezaan maksud bagi perkataan tersebut (Husin Fateh Din et. al, 2011).  Hal ni bermaksud, aktiviti ini merupakan latih tubi perkataan dengan cara mengulang-ulangnya.  Menurut beliau lagi,  aktiviti ini dapat membantu murid menghafal, menyebut dengan betul dan  tepat serta perkara yang disebut itu akan kekal dalam ingatan.  Secara tidak langsung, aktiviti ini dapat menjadi latihan membaca yang berkesan kepada murid.

Di samping itu, pendekatan yang lebih kurang sama dengan pendekatan pemintal lidah, iaitu latih tubi pasangan minimal juga boleh diterapkan bagi mengajar kemahiran membaca ini.   Pendekatan ini berbeza dengan pendekatan pemintal lidah dari aspek bilangan suku katanya. Pendekatan pasangan minimal ini  biasanya mempunyai bilangan suku kata yang sama namun berbeza dari sudut fonemnya.  Secara tidak langsung, perbezaan tersebut telah menyebabkan maksudnya berubah.
Selanjutnya, menurut Dolores Durkin (1993), pendekatan yang berikutnya adalah dengan menyediakan persekitaran membaca di sekitar keberadaan murid.  Hal ini bermaksud, guru perlu mewujudkan satu persekitaran atau suasana yang boleh membangkitkan semangat para pelajar untuk membaca. Beliau juga menambah bahawa bagi lebih menarik minat pelajar untuk membaca, bahan bacaan yang diberikan juga haruslah berkaitan ataupun ada hubungannya dengan pengalaman sedia ada pelajar serta berkait rapat dengan apa-apa perkara yang berlaku di sekitar kehidupan hariannya.  Hal ini amat penting bagi mencari dan menarik fokus para pelajar dalam aktiviti membaca ini.
Antara pendekatan yang boleh diadakan lagi adalah dengan membacakan kepada mereka apa-apa bahan bacaan kepada mereka setiap hari.  Pendekatan ini mungkin lebih merujuk kepada para ibu bapa kerana kebanyakan masa para pelajar adalah bersama-sama dengan ibu bapa mereka.  Tambahan pula, menurut Dolores Durkin (1993), pendekatan ini dilihat atau diibaratkan sebagai satu kenderaan yang boleh membantu kanak-kanak untuk memahami dan menambah pengetahuan mereka mengenai dunia di sekitar mereka.  Di samping itu, pembaca seharusnya tidak melupai bahawa pendekatan tersebut mampu untuk menggalakkan kanak-kanak untuk turut sama membaca.  Hal ini demikian kerana, bagi kanak-kanak, kebolehan untuk membaca ini merupakan suatu perkara yang menyeronokkan bagi mereka (Dolores Durkin, 1993) dan inilah objektif sebenar pendekatan ini!

Kesimpulannya, terdapat pelbagai pendekatan yang boleh digunakan bagi mengajar kemahiran membaca ini kepada murid-murid.  Sehubungan dengan itu, haruslah diingati bahawa pendekatan tersebut mestilah sesuai dengan tahap penerimaan individu terbabit. Hal ini sangat penting bagi memastikan penerimanya dapat menerima dan mempraktikkannya dengan baik dan betul.

Pemilihan bahan bacaan


Tujuan pembaca membaca teks adalah untuk memahami teks yang dibaca. Bagi menimbulkan minat pembaca membaca sebagai alat hiburan atau alat pengisi masa lapang, bahan bacaan tersebut perlu dipilih berdasarkan kriteria yang betul. Hal ini untuk mengelakkan pembaca bosan dengan bahan bacaan tersebut dan menjadikan pembaca mendapat manfaat daripada kandungan teks yang dibaca. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, aspek bacaan dan pemahaman amat penting dan perlu diberi perhatian kerana kemahiran itu menentukan kejayaan penguasaan pelajar dalam bacaan. Kejayaan ini dapat dicapai jika pelajar mahir dalam pemilihan bahan bacaan untuk menjadi pengguna bahasa yang baik.


 Aktiviti membaca merupakan sesuatu yang amat penting kepada setiap individu termasuklah pelajar. Dengan bacaan secara teratur dapat menyerap konsep, teori, analisis, cerita, dan sebagainya dengan baik. Pembacaan yang berterusan dapat mengembangkan diri dalam bidang tertentu malah dapat mengikuti setiap perkembangan baru yang terjadi. Bagi mendapat keyakinan, kesempurnaan dan keselesaan ketika proses membaca berlaku, pelajar perlu memilih bahan bacaan yang sesuai dan bermutu. Pembaca tidak boleh berdalih daripada masalah ini kerana kegiatan membaca boleh dianggap sama penting dengan kegiatan makan dan minum. Tanpa membaca maka pengetahuan akan menjadi layu (Rooijakers, 1981).

            Dalam Al-Quran sendiri ada menyebut mengenai seseorang itu perlu membuat pilihan dalam setiap perkara dari yang baik. Surah Al-Zumar ayat 17-18 yang bermaksud: “..oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu. (Iaitu) mereka yang berusaha mendengar perkataan (yang sampaikan) lalu mereka menurut yang terbaik; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah Ulul Albab”.

  Menurut Yahya Othman (2005), Ada beberapa tiga cara yang disyorkan dalam membuat pilihan bahan bacaan.

1.      Menentukan Tahap Kesukaran

Pembaca perlu menentukan tahap kesukaran bahan yang hendak dibaca. Jika pembaca memilih bahan bacaan yang mempunyai tahap kesukaran yang tinggi akan menyebabkan pembaca kurang mendapat pemahaman dari bahan bacaan tersebut. Pembaca juga perlu pastikan bahan bacaan itu hanya mempunyai sedikit kesukaran. Jika terlalu banyak pembaca tidak faham terhadap sesuatu terutamanya istilah dan perlu merujuk kamus akan menyebabkan pembaca letih, keliru dan putus asa untuk meneruskan proses membaca. Hal ini kerana pembaca perlu mengumpulkan semua makna istilah atau kata-kata yang baru diterima untuk difahami dan ia memerlukan masa yang panjang bagi sesetengah pembaca. 

 

  Oleh itu, pembaca perlu memulai proses membaca dengan memilih bahan bacaan yang mudah difahami. Apabila sudah berasa selesa barulah beralih kepada tahap kesukaran yang sedikit tinggi. Semua bidang memang disediakan bahan bacaan untuk semua peringkat, dari yang tidak tahu langsung sehinggalah ke peringkat yang memboleh pembaca mengkritik bahan bacaan tersebut. Jadi, pembaca hanya perlu mencari bahan bacaan yang mudah. Bagi sesetengah pembaca, mereka lebih tertarik dan menyukai jika bahan bacaan tersebut turut disertakan dengan gambar, jadual, pelan dan sebagainya. Tiada alas an bagi pembaca untuk mengelakkan diri dari membaca kerana sekarang ini teknologi teknologi semakin canggih dan kemudahan untuk membaca senang diperoleh.

 

2.      Memilih Tajuk Bacaan

  Cara seterusnya adalah dengan memilih tajuk bahan bacaan. Pembaca yang bijak akan memilih tajuk bahan bacaan yang biasa dan selesa dengan dirinya. Kebiasaaan pemabca dengan sesuatu tajuk membantu pembaca untuk lebih mudah meneka makna perkataan yang jarang ditemui. Keadaan ini dapat mengurangkan jurang pengetahuan bahasa pembaca. Sebagai contoh, seseorang yang baru hendak berjinak dengan akhbar perlu membaca teks akhbar yang tajuk menarik dan sesuai dengannya. Apabila sudah mempunyai sedikit pengetahuan, barulah beralih kepada tajuk yang lain. 

Masalah dalam membaca

              Proses membaca dikatakan satu perkara yang mudah tetapi sebenarnya ada sesetengah golongan yang mengalami masalah membaca ini. Masalah membaca boleh timbul disebabkan beberapa faktor dalaman dan luaran. Kebiasaanya faktor dalaman individu itu sendiri yang menjadi punca utama kepada masalah dalam membaca sesuatu bahan.

Masalah membaca dari sudut dalaman ialah masalah yang timbul pada seseorang individu itu sendiri dari aspek kecerdasan dan perkembangan kognitif. Menurut tokoh membaca Marohaini Yusoff ( 1999 ), masalah intelek meliputi kecerdasan, keboleh bahasaan dan pengalaman yang sudah sedia ada. Kecerdasan merupakan aspek penting yang diperlukan untuk membaca. Bagi kanak-kanak yang mengalami masalah mental seperti terencat akal atau sindrom down pastinya tahap keboleh bacaan dalam kalangan mereka sangat rendah. Selain itu, masalah ini juga bukan sahaja dialami oleh kanak-kanak istimewa tetapi ada sebahagian kanak-kanak yang lain mempunyai masalah kelemahan daya ingatan ini. Mereka sering kali mengalami masalah kekeliruan dengan huruf, kesukaran dalam pengamatan sesuatu perkataan, kesukaran untuk membatang suku kata perkataan dan mengalami kesukaran untuk membaca ayat. (Khairuddin Mohamad, 2011)

Proses perkembangan kognitif yang tidak normal menyebabkan berlakunya masalah-masalah dalam membaca seperti kekeliruan dalam mengenal bentuk huruf, huruf yang terbalik, keliru untuk menamakan huruf besar dan kecil kerana bentuknya telah berubah, bunyi huruf yang seakan-akan sama dan ada juga pelajar yang menyebut huruf mengikut loghat bahasa ibunda. Di samping itu, mereka juga mengalami masalah kesukaran dalam pengamatan sesuatu perkataan iaitu mereka boleh mengeja sesuatu perkataan tetapi tidak boleh menbunyikannya, keliru dengan ejaan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris, salah menyebut dan membunyikan perkataan yang seakan-akan sama dan menyebut perkataan dengan menggunakan loghat.

Masalah yang timbul juga ialah pelajar-pelajar mengalami masalah untuk membatang suku kata perkataan. Mereka tidak boleh membatang suku kata terbuka dan tertutup, keliru dengan suku kata e taling dan e pepet, salah memecah dan membatang suku kata, tidak boleh membatang perkataan yang banyak suku kata dan keliru untuk membatang perkataan yang berdiftong dan vokal berganding. Masalah-masalah yang timbul ini telah membawa kepada masalah yang lebih besar lagi iaitu berlakulah kesukaran untuk membaca ayat. Mereka terpaksa membaca secara berulang-ulang dan merangkak-rangkak serta kerap tertinggal semasa aktiviti membaca secara ramai-ramai. (Khairuddin Mohamad, 2011) Hal ini demikian akan menyebabkan minat untuk membaca dalam diri mereka akan terhapus dan perkara yang membimbangkan ialah mereka tidak berminat lagi untuk belajar membaca

Selain masalah dalaman, masalah luaran turut menjadi fakor dalam proses membaca iaitu melibatkan bahan bacaan tersebut. Menurut Carell (1992), keupayaan untuk memahami banyak dipengaruhi oleh latar belakang bahan yang dibaca, bahasa yang sukar difahami, jenis dan panjang sesuatu petikan. Masalah ini bukan sahaja menyukarkan pembaca dalam kalangan kanak-kanak sahaja tetapi turut menjadi masalah kepada pembaca dewasa. Dapatan daripada kajian oleh Kid dan Greene (2002) menunjukkan pembaca dewasa juga mengalami masalah dalam membaca seperti berkaitan kesedaran fonemik, analisis perkataan, kelancaran, perbendaharaan kata dan pemahaman. Masalah dalam penulisan teks ini wujud apabila penulis tidak menyesuaikan kandungan teks dengan keperluan pengajian pembaca. Hal ini demikian kerana teks tersebut ditulis oleh penulis di luar bidang pengajian mereka yang menyebabkan pembaca sukar untuk memahami dengan mudah bahan bacaan tersebut dan   kebiasaanya masalah ini dialami oleh pelajar-pelajar universiti. Tambahan pula, isi kandungan teks bacaan tersebut juga tidak diolah dengan sebaiknya dan penggunaan bahasa serta organisasi teks tidak diambil perhatian yang menyukarkan pembaca untuk memahami bacaan tersebut. Oleh itu, penulis buku teks akademik memerlukan penelitian terutama dari aspek gaya pengarangan, isi kandungan dan penguasaan bahasa yang sesuai dengan pembaca. (Yahya Othman, 2008)
 
Masalah yang timbul dalam proses membaca ini haruslah diatasi sebaiknya kerana dalam dunia yang mementingkan penguasaan ilmu yang luas dan mendalam dalam pelbagai bidang, keupayaan untuk membaca dan memahai teks bacaan perlu diberi perhatian penting pada masa kini. Oleh itu, semua pihak haruslah memainkan peranan yang penting untuk memastikan penguasaan ilmu dalam masyarakat kita terus berkembang seiring dengan kemajuan negara pada hari ini.

Belajar Membaca


Membaca merupakan amalan penting dan mestilah menjadi satu budaya dalam masyarakat kita hari ini. Oleh itu, amalan membaca ini hendaklah dipupuk sejak dari kecil lagi dan ibu bapa hendaklah menjadi pencetus utama anak-anak untuk minat membaca umpama pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.  Oleh itu, beberapa kaedah atau cara-cara yang sesuai untuk mengajar anak-anak belajar membaca perlu dilakukan untuk memastikan masyarakat kita tidak tergolong dalam golongan “buta huruf”.

            Antara kaedah yang dapat dilakukan ialah “kaedah fonetik” iaitu membaca dengan memperkenalkan bunyi secara sistematik. Kaedah ini sesuai untuk diajar kepada kanak-kanak kerana ia telah dibuktikan secara saintifik sebagai kaedah otak manusia membaca. Kajian telah menunjukkan bahawa otak membaca dengan memecahkan perkataan yang dilihat kepada bunyi-bunyi, lalu otak membunyikan huruf-huruf yang dilihat bagi menyebut atau membaca perkataan itu. Langkah pertama dalam kaedah ini ialah kanak-kanak perlu tahu bunyi huruf iaitu dapat menyebut bunyi dan mengingati bunyi huruf yang diajarkan. Seterusnya, kanak-kanak perlu kenal huruf dari segi bentuk, rupa dan cara tulis huruf tersebut dan akhir sekali, kanak-kanak dapat mengaitkan huruf yang dilihat dengan bunyi yang berkaitan. Sebagai contoh, kanak-kanak dapat menyebut bunyi ‘aa’ apabila melihat huruf ‘a’(sebutan huruf ‘ei’) dan bunyi ‘ii’ apabila melihat huruf ‘e’. Oleh itu, kaedah ini dapat membantu kanak-kanak menyebut perkataan ‘ani’ dengan mengeluarkan bunyi ‘aa’ ‘nn’ ‘ii’ (iaitu bunyi ani) bukannya ‘ei’ ‘en’ ‘ai’ (bunyi enai).  (Othman Ahamad, 2007)

            Selain itu, kaedah untuk membaca juga penting untuk memastikan bahan bacaan tersebut sentiasa diingati. Kaedah yang boleh digunakan juga ialah kaedah SQ3R. Kaedah ini dikemukakan oleh Francis P. Robinson pada tahun 1941 yang menjadi kaedah membaca popular. Kaedah ini melibatkan lima langkah dalam membaca, iaitu Survey, Question, Read, Recite dan Review. (Adenan Ayob & Abdullah Yusof, 2010) Sebelum membaca, pembaca perlu teliti soal (survey) bacaan untuk mendapatkan gagasan umum tentang apa yang akan dibaca nanti. Pada peringkat ini, pembacaan boleh dilakukan dalam beberapa minit tetapi dengan cara yang sistematik dan mencari idea-idea penting. Pembacaan peringkat survey terhadap buku boleh dilakukan dengan memperhatikan judul buku, nama penulis dan tahun penerbitannya untuk memudahkan pembacaan pada peringkat seterusnya. Peringkat kedua ialah question iaitu persoalan demi persoalan tentang perkara yang ingin dicari akan timbul semasa pembaca berada di peringkat survey dan ia akan menimbulkan persoalan yang lebih mendalam. Hal ini menyebabkan pembaca akan membaca dengan lebih aktif dan lebih mudah untuk memahami bahan bacaan tersebut.


            Peringkat yang seterusnya ialah read iaitu pembacaan yang dilakukan secara kritis dan menuruti bahagian-bahagiannya. Pada peringkat ini, pembaca disarankan untuk mencari jawapan untuk persoalan-persoalan yang telah dibentuk atau persoalan lain yang timbul berdasarkan topik bacaan tersebut. Pembaca juga perlu memberi perhatian terhadap idea utama serta membuat perincian yang penting terhadap idea utama tersebut. Peringkat keempat ialah recite iaitu pembaca perlu membuat catatan dan sekiranya pembacaan tersebut masih sukar difahami, pembaca digalakkan untuk membaca semula bahan bacaan tersebut. Peringkat terakhir ialah review iaitu pembaca disarankan untuk mengulangi pembacaan terhadap topik-topik atau idea-idea yang penting untuk memastikan pembacaan tersebut diingati. Pada tahap ini, proses pembacaan juga menjadi lebih baik dan pembaca lebih memahami bahan bacaan tersebut. (Adenan Ayob & Abdullah Yusof, 2010)

            Kesimpulannya, amalan membaca ini haruslah menjadi darah daging dalam masyarakat kita kerana membaca memberikan banyak manfaat dan ianya sangat penting. Oleh itu, semua pihak mestilah memainkan peranan yang penting untuk mencapai matlamat masyarakat yang membudayakan amalan membaca. 

Teori Proses Membaca

Apakah itu Model Bottom Up?
Model Bawah ke Atas dibincangkan oleh beberapa orang pengkaji.  Namun begitu, tokoh utama yang banyak mengkaji model ini ialah Gough (1972, 1985).  Model ini menyatakan individu memulakan proses membaca apabila matanya mengenal pasti maklumat visual yang tertera dalam teks yang dibacanya melalui siri perbuatan yang berterusan.  Proses ini bermula secara linear iaitu bermula dengan mengecam dan mengenal pasti huruf, menghubungkan cirri-ciri bagi mengenal huruf, menggabungkan huruf bagi memilih pola ejaan iaitu fonem, menghubungkaitkan perkataan-perkataan dan akhirnya menghasilkan proses membina ayat, paragraph dan semantik. Model ini sangat bermanfaat bagi golongan membaca yang lemah dalam bahasa pertama dan bahasa kedua. Hal ini demikian kerana, golongan ini lebih memfokuskan tahap perkataan bagi teks daripada makna secara global.

Apakah itu Model Top Down?
Model Atas ke Bawah ini berasaskan model psikolinguistik oleh Goodman (1967, 1970) dan Smith (1971, 1978).  Model ini memberi penekanan terhadap pembaca dan pergerakan bahan bacaannya yang masih lagi bersifat linear tetapi bergerak dari atas ke bawah.  Tambahan lagi teori ini mengemukakan fenomena di mana makna tidak terdapat di dalam teks yang dibaca tetapi makna diberikan oleh pembaca itu sendiri.  Pembaca akan memahami teks yang dibaca walaupun tidak mengenal setiap perkataan yang dibaca.  Demikian hal itu, pembaca akan menggunakan makna dan isyarat bahasa serta pengetahuan bahasa yang sedia ada bagi mengenal pasti perkataan yang tidak dikenali.  Hal ini demikian kerana, focus utama dalam pengajaran adalah membaca ayat, pragraf dan keseluruhan bahan bacaan.  Selain itu, perkara penting dalam bacaan adalah jumlah dan jenis meklumat penting yang diperoleh semasa melakukan aktiviti bacaan. Model Atas ke Bawah ini menunjukkan bahawa pemahaman teks adalah lebih penting berbanding penggunaan bahasa dan maklumat. 



Apakah itu model Interaktif?

Model interaktif merupakan model pembelajaran yang bersifat kognitif.  Antara tokoh utama dalam model interaktif ialah Stanovich ,1980 dan Rumelhart, 1990.  Berdasarkan model ini, pembaca mendapatkan makna daripada bahan bacaan yang dibaca melalui struktur permukaan bahasa, struktur dalaman bahasa serta melalui pengalaman dan pengetahuan sedia ada. 

Tambahan lagi, proses interaktif ini menggunakan cetakan sebagai input dan makna sebagai out put.  Model Atas ke Bawah dan Bawah ke Atas boleh timbul secara silih berganti atau serentak dalam proses membaca bergantung kepada pembaca dan juga teks.  Model ini mencadangkan pembaca membina makna dengan cara memilih maklumat daripada semua sumber makna tanpa mematuhi mana-mana arahan.  Namun begitu, pembaca hendaklah menggunakan semua peringkat proses membaca. 

Apakah itu Model Transactional?

Penyelidik utama dalam bidang penyelidikan bacaan berasaskan teori transactional ialah Louise Rosenblatt yang juga merupakan pelopor teori.  Dia dibantu oleh Dewey dan Bently yang mencadangkan bahawa pembelajaran bukan merupakan interaksi tetapi pembelajaran adalah transaksi.  Dalam model transactional ini, membaca merupakan proses membina makna daripada kombinasi pembaca tertentu, pada masa atau konteks tertentu, dengan teks tertentu.  Ia merupakan suatu transaksi antara pengarang, pembaca dan teks.  Tambahan lagi, membaca adalah aktiviti memilih iaitu pembaca membawa perasaan, sikap, jangkaan, dan tujuan untuk setiap teks dan ia mambawa kepada makna atau penimbulan. Namun demikian, pendirian, pendirian pembaca yang akan menentukan pengalaman yang diperoleh daripada teks itu. 

Kesimpulannya, model transactional ini menunjukkan bahawa membaca merupakan proses yang melibatkan pembaca, masa atau konteks serta teks yang menghasilkan makna yang tersendiri.

Definisi Membaca



Steinberg (1982) 
~ Proses membaca sebagai satu bentuk komunikasi dan tujuannya adalah untuk memberikan maklumat melalui bentuk-bentuk bertulis.
Robert Lado (1964) 
~ Membaca sebagai mengungkap pola-pola bahasa daripada bentuk tulisannya.
 Charles C. Frie (1963) 
~ Membaca adalah satu aktiviti pentafsiran dan menterjemahkan lambang-lambang bercorak kepada bunyi-bunyi yang dimaksudkan.
 Frank Smith (1971) 
~ Membaca adalah satu langkah lanjutan dalam perkembangan pembelajaran bahasa dan memproses perkembangan-perkembangan yang diterima.
 Atan Long (1978) 
~ Membaca sebagai satu proses yang melibatkan kebolehan mengenal lambang-lambang dan menterjemah lambang-lambang itu semula kepada bunyi suara (bahasa) dan memahami makna atau tanggapan yang disampaikan oleh tulisan itu.
Zulkifley Hamid (1994) 
~ Membaca sebagai proses pembaca mengenal lambang-lambang tulisan, menterjemahkannya kepada bentuk bunyi yang dilambangkan dan mendapatkan makna bagi bentuk tulisan  tersebut.
............................................................
Tuntasnya

Membaca  merupakan satu proses yang kompleks dan gabungan beberapa proses iaitu proses sensori (pandang), proses pengamatan, proses linguistik dan proses mental.