Kemahiran membaca merupakan komponen penting dan menjadi kunci atau
perkara asas kepada ilmu pengetahuan. Oleh hal yang demikian, kemahiran
membaca perlu dipelajari oleh setiap individu seawal yang mungkin.
Sehubungan dengan itu, guru digalakkan untuk memvariasikan teknik dan
kaedah pengajaran yang menarik agar dapat mencapai objektif yang telah
ditetapkan. Maka, terdapat pelbagai teknik dan pendekatan yang boleh
diaplikasikan untuk mengajar kemahiran membaca ini.
Antara pendekatan yang boleh digunakan ialah permainan bahasa.
Pendekatan belajar melalui aktiviti permainan yang disarankan oleh Pusat
Perkembangan Kurikulum (2003) dalam Husin Fateh Din et. al (2011) ini
ialah satu pendekatan terancang dan berstruktur yang memberi peluang
kepada murid-murid untuk belajar dalam suasana yang menggembirakan dan
bermakna. Hal ini disokong oleh Siti Hajar (1996) dalam Husin Fateh Din
et. al (2011) dengan menyatakan bahawa permainan bahasa ini merupakan
aktiviti yang dirancang dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa.
Melalui aktiviti permainan bahasa ini, murid-murid bukan sahaja boleh
menguasai kemahiran membaca, malah kemahiran mendengar, lisan dan
menulis turut dapat dikuasai secara serentak. Hal ini menjadikan
pembelajaran berpusatkan murid-murid dapat dilakukan, manakala guru
dapat bertindak sebagai fasilitator (Husin Fateh Din et. al, 2011).
Walau bagaimanapun, permainan bahasa ini perlulah mempunyai pengisian
yang selayaknya di samping sesuai dengan kemahiran yang mahu diajar pada
minggu atau hari itu. Pendek kata, perkara utama yang perlu ditekankan
dalam permainan bahasa ini ialah pengisian aktivitinya (Husin Fateh Din
et. al, 2011). Hal ini bermakna, setiap guru mestilah memastikan setiap
permainan bahasa ini perlu memenuhi objektif silibus pelajaran yang
telah ditetapkan supaya keupayaan kognitif murid-murid dapat
ditingkatkan dari semasa ke semasa.
Seterusnya, pendekatan secara pemintal lidah, iaitu guru melatih murid
menyebut perkataan yang hampir sama bunyinya. Perkataan ini sama dari
segi bunyi tetapi terdapat beberapa perkataan konsonan dan vokal yang
menjadikan perbezaan maksud bagi perkataan tersebut (Husin Fateh Din et.
al, 2011). Hal ni bermaksud, aktiviti ini merupakan latih tubi
perkataan dengan cara mengulang-ulangnya. Menurut beliau lagi,
aktiviti ini dapat membantu murid menghafal, menyebut dengan betul dan
tepat serta perkara yang disebut itu akan kekal dalam ingatan. Secara
tidak langsung, aktiviti ini dapat menjadi latihan membaca yang berkesan
kepada murid.
Di samping itu, pendekatan yang lebih kurang sama dengan pendekatan
pemintal lidah, iaitu latih tubi pasangan minimal juga boleh diterapkan
bagi mengajar kemahiran membaca ini. Pendekatan ini berbeza dengan
pendekatan pemintal lidah dari aspek bilangan suku katanya. Pendekatan
pasangan minimal ini biasanya mempunyai bilangan suku kata yang sama
namun berbeza dari sudut fonemnya. Secara tidak langsung, perbezaan
tersebut telah menyebabkan maksudnya berubah.
Selanjutnya, menurut Dolores Durkin (1993), pendekatan yang berikutnya
adalah dengan menyediakan persekitaran membaca di sekitar keberadaan
murid. Hal ini bermaksud, guru perlu mewujudkan satu persekitaran atau
suasana yang boleh membangkitkan semangat para pelajar untuk membaca.
Beliau juga menambah bahawa bagi lebih menarik minat pelajar untuk
membaca, bahan bacaan yang diberikan juga haruslah berkaitan ataupun ada
hubungannya dengan pengalaman sedia ada pelajar serta berkait rapat
dengan apa-apa perkara yang berlaku di sekitar kehidupan hariannya. Hal
ini amat penting bagi mencari dan menarik fokus para pelajar dalam
aktiviti membaca ini.
Antara pendekatan yang boleh diadakan lagi adalah dengan membacakan
kepada mereka apa-apa bahan bacaan kepada mereka setiap hari.
Pendekatan ini mungkin lebih merujuk kepada para ibu bapa kerana
kebanyakan masa para pelajar adalah bersama-sama dengan ibu bapa mereka.
Tambahan pula, menurut Dolores Durkin (1993), pendekatan ini dilihat
atau diibaratkan sebagai satu kenderaan yang boleh membantu kanak-kanak
untuk memahami dan menambah pengetahuan mereka mengenai dunia di sekitar
mereka. Di samping itu, pembaca seharusnya tidak melupai bahawa
pendekatan tersebut mampu untuk menggalakkan kanak-kanak untuk turut
sama membaca. Hal ini demikian kerana, bagi kanak-kanak, kebolehan
untuk membaca ini merupakan suatu perkara yang menyeronokkan bagi mereka
(Dolores Durkin, 1993) dan inilah objektif sebenar pendekatan ini!
Kesimpulannya, terdapat pelbagai pendekatan yang boleh digunakan bagi
mengajar kemahiran membaca ini kepada murid-murid. Sehubungan dengan
itu, haruslah diingati bahawa pendekatan tersebut mestilah sesuai dengan
tahap penerimaan individu terbabit. Hal ini sangat penting bagi
memastikan penerimanya dapat menerima dan mempraktikkannya dengan baik
dan betul.