Membaca merupakan
amalan penting dan mestilah menjadi satu budaya dalam masyarakat kita hari ini.
Oleh itu, amalan membaca ini hendaklah dipupuk sejak dari kecil lagi dan ibu
bapa hendaklah menjadi pencetus utama anak-anak untuk minat membaca umpama
pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Oleh itu, beberapa kaedah atau cara-cara yang
sesuai untuk mengajar anak-anak belajar membaca perlu dilakukan untuk
memastikan masyarakat kita tidak tergolong dalam golongan “buta huruf”.
Antara kaedah yang dapat dilakukan ialah “kaedah fonetik”
iaitu membaca dengan memperkenalkan bunyi secara sistematik. Kaedah ini sesuai
untuk diajar kepada kanak-kanak kerana ia telah dibuktikan secara saintifik
sebagai kaedah otak manusia membaca. Kajian telah menunjukkan bahawa otak
membaca dengan memecahkan perkataan yang dilihat kepada bunyi-bunyi, lalu otak
membunyikan huruf-huruf yang dilihat bagi menyebut atau membaca perkataan itu.
Langkah pertama dalam kaedah ini ialah kanak-kanak perlu tahu bunyi huruf iaitu
dapat menyebut bunyi dan mengingati bunyi huruf yang diajarkan. Seterusnya,
kanak-kanak perlu kenal huruf dari segi bentuk, rupa dan cara tulis huruf
tersebut dan akhir sekali, kanak-kanak dapat mengaitkan huruf yang dilihat
dengan bunyi yang berkaitan. Sebagai contoh, kanak-kanak dapat menyebut bunyi
‘aa’ apabila melihat huruf ‘a’(sebutan huruf ‘ei’) dan bunyi ‘ii’ apabila
melihat huruf ‘e’. Oleh itu, kaedah ini dapat membantu kanak-kanak menyebut
perkataan ‘ani’ dengan mengeluarkan bunyi ‘aa’ ‘nn’ ‘ii’ (iaitu bunyi ani)
bukannya ‘ei’ ‘en’ ‘ai’ (bunyi enai). (Othman
Ahamad, 2007)
Selain itu, kaedah untuk membaca juga penting untuk
memastikan bahan bacaan tersebut sentiasa diingati. Kaedah yang boleh digunakan
juga ialah kaedah SQ3R. Kaedah ini dikemukakan oleh Francis P. Robinson pada
tahun 1941 yang menjadi kaedah membaca popular. Kaedah ini melibatkan lima
langkah dalam membaca, iaitu Survey,
Question, Read, Recite dan Review.
(Adenan Ayob & Abdullah Yusof, 2010) Sebelum membaca, pembaca perlu teliti
soal (survey) bacaan untuk mendapatkan gagasan umum tentang
apa yang akan dibaca nanti. Pada peringkat ini, pembacaan boleh dilakukan dalam
beberapa minit tetapi dengan cara yang sistematik dan mencari idea-idea penting. Pembacaan peringkat survey terhadap buku boleh dilakukan
dengan memperhatikan judul buku, nama penulis dan tahun penerbitannya untuk
memudahkan pembacaan pada peringkat seterusnya. Peringkat kedua ialah question iaitu persoalan demi persoalan
tentang perkara yang ingin dicari akan timbul semasa pembaca berada di
peringkat survey dan ia akan menimbulkan persoalan yang lebih mendalam. Hal ini
menyebabkan pembaca akan membaca dengan lebih aktif dan lebih mudah untuk
memahami bahan bacaan tersebut.
Peringkat
yang seterusnya ialah read iaitu
pembacaan yang dilakukan secara kritis dan menuruti bahagian-bahagiannya. Pada peringkat
ini, pembaca disarankan untuk mencari jawapan untuk persoalan-persoalan yang
telah dibentuk atau persoalan lain yang timbul berdasarkan topik bacaan
tersebut. Pembaca juga perlu memberi perhatian terhadap idea utama serta membuat
perincian yang penting terhadap idea utama tersebut. Peringkat keempat ialah recite iaitu pembaca perlu membuat
catatan dan sekiranya pembacaan tersebut masih sukar difahami, pembaca
digalakkan untuk membaca semula bahan bacaan tersebut. Peringkat terakhir ialah
review iaitu pembaca disarankan untuk
mengulangi pembacaan terhadap topik-topik atau idea-idea yang penting untuk
memastikan pembacaan tersebut diingati. Pada tahap ini, proses pembacaan juga
menjadi lebih baik dan pembaca lebih memahami bahan bacaan tersebut. (Adenan
Ayob & Abdullah Yusof, 2010)
Kesimpulannya, amalan membaca ini haruslah menjadi darah
daging dalam masyarakat kita kerana membaca memberikan banyak manfaat dan ianya
sangat penting. Oleh itu, semua pihak mestilah memainkan peranan yang penting
untuk mencapai matlamat masyarakat yang membudayakan amalan membaca.
No comments:
Post a Comment