blog kami

Thursday 25 April 2013

Belajar Membaca


Membaca merupakan amalan penting dan mestilah menjadi satu budaya dalam masyarakat kita hari ini. Oleh itu, amalan membaca ini hendaklah dipupuk sejak dari kecil lagi dan ibu bapa hendaklah menjadi pencetus utama anak-anak untuk minat membaca umpama pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.  Oleh itu, beberapa kaedah atau cara-cara yang sesuai untuk mengajar anak-anak belajar membaca perlu dilakukan untuk memastikan masyarakat kita tidak tergolong dalam golongan “buta huruf”.

            Antara kaedah yang dapat dilakukan ialah “kaedah fonetik” iaitu membaca dengan memperkenalkan bunyi secara sistematik. Kaedah ini sesuai untuk diajar kepada kanak-kanak kerana ia telah dibuktikan secara saintifik sebagai kaedah otak manusia membaca. Kajian telah menunjukkan bahawa otak membaca dengan memecahkan perkataan yang dilihat kepada bunyi-bunyi, lalu otak membunyikan huruf-huruf yang dilihat bagi menyebut atau membaca perkataan itu. Langkah pertama dalam kaedah ini ialah kanak-kanak perlu tahu bunyi huruf iaitu dapat menyebut bunyi dan mengingati bunyi huruf yang diajarkan. Seterusnya, kanak-kanak perlu kenal huruf dari segi bentuk, rupa dan cara tulis huruf tersebut dan akhir sekali, kanak-kanak dapat mengaitkan huruf yang dilihat dengan bunyi yang berkaitan. Sebagai contoh, kanak-kanak dapat menyebut bunyi ‘aa’ apabila melihat huruf ‘a’(sebutan huruf ‘ei’) dan bunyi ‘ii’ apabila melihat huruf ‘e’. Oleh itu, kaedah ini dapat membantu kanak-kanak menyebut perkataan ‘ani’ dengan mengeluarkan bunyi ‘aa’ ‘nn’ ‘ii’ (iaitu bunyi ani) bukannya ‘ei’ ‘en’ ‘ai’ (bunyi enai).  (Othman Ahamad, 2007)

            Selain itu, kaedah untuk membaca juga penting untuk memastikan bahan bacaan tersebut sentiasa diingati. Kaedah yang boleh digunakan juga ialah kaedah SQ3R. Kaedah ini dikemukakan oleh Francis P. Robinson pada tahun 1941 yang menjadi kaedah membaca popular. Kaedah ini melibatkan lima langkah dalam membaca, iaitu Survey, Question, Read, Recite dan Review. (Adenan Ayob & Abdullah Yusof, 2010) Sebelum membaca, pembaca perlu teliti soal (survey) bacaan untuk mendapatkan gagasan umum tentang apa yang akan dibaca nanti. Pada peringkat ini, pembacaan boleh dilakukan dalam beberapa minit tetapi dengan cara yang sistematik dan mencari idea-idea penting. Pembacaan peringkat survey terhadap buku boleh dilakukan dengan memperhatikan judul buku, nama penulis dan tahun penerbitannya untuk memudahkan pembacaan pada peringkat seterusnya. Peringkat kedua ialah question iaitu persoalan demi persoalan tentang perkara yang ingin dicari akan timbul semasa pembaca berada di peringkat survey dan ia akan menimbulkan persoalan yang lebih mendalam. Hal ini menyebabkan pembaca akan membaca dengan lebih aktif dan lebih mudah untuk memahami bahan bacaan tersebut.


            Peringkat yang seterusnya ialah read iaitu pembacaan yang dilakukan secara kritis dan menuruti bahagian-bahagiannya. Pada peringkat ini, pembaca disarankan untuk mencari jawapan untuk persoalan-persoalan yang telah dibentuk atau persoalan lain yang timbul berdasarkan topik bacaan tersebut. Pembaca juga perlu memberi perhatian terhadap idea utama serta membuat perincian yang penting terhadap idea utama tersebut. Peringkat keempat ialah recite iaitu pembaca perlu membuat catatan dan sekiranya pembacaan tersebut masih sukar difahami, pembaca digalakkan untuk membaca semula bahan bacaan tersebut. Peringkat terakhir ialah review iaitu pembaca disarankan untuk mengulangi pembacaan terhadap topik-topik atau idea-idea yang penting untuk memastikan pembacaan tersebut diingati. Pada tahap ini, proses pembacaan juga menjadi lebih baik dan pembaca lebih memahami bahan bacaan tersebut. (Adenan Ayob & Abdullah Yusof, 2010)

            Kesimpulannya, amalan membaca ini haruslah menjadi darah daging dalam masyarakat kita kerana membaca memberikan banyak manfaat dan ianya sangat penting. Oleh itu, semua pihak mestilah memainkan peranan yang penting untuk mencapai matlamat masyarakat yang membudayakan amalan membaca. 

No comments:

Post a Comment