blog kami

Thursday 25 April 2013

Masalah dalam membaca

              Proses membaca dikatakan satu perkara yang mudah tetapi sebenarnya ada sesetengah golongan yang mengalami masalah membaca ini. Masalah membaca boleh timbul disebabkan beberapa faktor dalaman dan luaran. Kebiasaanya faktor dalaman individu itu sendiri yang menjadi punca utama kepada masalah dalam membaca sesuatu bahan.

Masalah membaca dari sudut dalaman ialah masalah yang timbul pada seseorang individu itu sendiri dari aspek kecerdasan dan perkembangan kognitif. Menurut tokoh membaca Marohaini Yusoff ( 1999 ), masalah intelek meliputi kecerdasan, keboleh bahasaan dan pengalaman yang sudah sedia ada. Kecerdasan merupakan aspek penting yang diperlukan untuk membaca. Bagi kanak-kanak yang mengalami masalah mental seperti terencat akal atau sindrom down pastinya tahap keboleh bacaan dalam kalangan mereka sangat rendah. Selain itu, masalah ini juga bukan sahaja dialami oleh kanak-kanak istimewa tetapi ada sebahagian kanak-kanak yang lain mempunyai masalah kelemahan daya ingatan ini. Mereka sering kali mengalami masalah kekeliruan dengan huruf, kesukaran dalam pengamatan sesuatu perkataan, kesukaran untuk membatang suku kata perkataan dan mengalami kesukaran untuk membaca ayat. (Khairuddin Mohamad, 2011)

Proses perkembangan kognitif yang tidak normal menyebabkan berlakunya masalah-masalah dalam membaca seperti kekeliruan dalam mengenal bentuk huruf, huruf yang terbalik, keliru untuk menamakan huruf besar dan kecil kerana bentuknya telah berubah, bunyi huruf yang seakan-akan sama dan ada juga pelajar yang menyebut huruf mengikut loghat bahasa ibunda. Di samping itu, mereka juga mengalami masalah kesukaran dalam pengamatan sesuatu perkataan iaitu mereka boleh mengeja sesuatu perkataan tetapi tidak boleh menbunyikannya, keliru dengan ejaan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris, salah menyebut dan membunyikan perkataan yang seakan-akan sama dan menyebut perkataan dengan menggunakan loghat.

Masalah yang timbul juga ialah pelajar-pelajar mengalami masalah untuk membatang suku kata perkataan. Mereka tidak boleh membatang suku kata terbuka dan tertutup, keliru dengan suku kata e taling dan e pepet, salah memecah dan membatang suku kata, tidak boleh membatang perkataan yang banyak suku kata dan keliru untuk membatang perkataan yang berdiftong dan vokal berganding. Masalah-masalah yang timbul ini telah membawa kepada masalah yang lebih besar lagi iaitu berlakulah kesukaran untuk membaca ayat. Mereka terpaksa membaca secara berulang-ulang dan merangkak-rangkak serta kerap tertinggal semasa aktiviti membaca secara ramai-ramai. (Khairuddin Mohamad, 2011) Hal ini demikian akan menyebabkan minat untuk membaca dalam diri mereka akan terhapus dan perkara yang membimbangkan ialah mereka tidak berminat lagi untuk belajar membaca

Selain masalah dalaman, masalah luaran turut menjadi fakor dalam proses membaca iaitu melibatkan bahan bacaan tersebut. Menurut Carell (1992), keupayaan untuk memahami banyak dipengaruhi oleh latar belakang bahan yang dibaca, bahasa yang sukar difahami, jenis dan panjang sesuatu petikan. Masalah ini bukan sahaja menyukarkan pembaca dalam kalangan kanak-kanak sahaja tetapi turut menjadi masalah kepada pembaca dewasa. Dapatan daripada kajian oleh Kid dan Greene (2002) menunjukkan pembaca dewasa juga mengalami masalah dalam membaca seperti berkaitan kesedaran fonemik, analisis perkataan, kelancaran, perbendaharaan kata dan pemahaman. Masalah dalam penulisan teks ini wujud apabila penulis tidak menyesuaikan kandungan teks dengan keperluan pengajian pembaca. Hal ini demikian kerana teks tersebut ditulis oleh penulis di luar bidang pengajian mereka yang menyebabkan pembaca sukar untuk memahami dengan mudah bahan bacaan tersebut dan   kebiasaanya masalah ini dialami oleh pelajar-pelajar universiti. Tambahan pula, isi kandungan teks bacaan tersebut juga tidak diolah dengan sebaiknya dan penggunaan bahasa serta organisasi teks tidak diambil perhatian yang menyukarkan pembaca untuk memahami bacaan tersebut. Oleh itu, penulis buku teks akademik memerlukan penelitian terutama dari aspek gaya pengarangan, isi kandungan dan penguasaan bahasa yang sesuai dengan pembaca. (Yahya Othman, 2008)
 
Masalah yang timbul dalam proses membaca ini haruslah diatasi sebaiknya kerana dalam dunia yang mementingkan penguasaan ilmu yang luas dan mendalam dalam pelbagai bidang, keupayaan untuk membaca dan memahai teks bacaan perlu diberi perhatian penting pada masa kini. Oleh itu, semua pihak haruslah memainkan peranan yang penting untuk memastikan penguasaan ilmu dalam masyarakat kita terus berkembang seiring dengan kemajuan negara pada hari ini.

No comments:

Post a Comment